Wednesday, August 27, 2008

secangkir kopi.


Assalamualaikum..

Kusangka panas hingga ke petang... rupanya hujan di tengahari.

Bukan pepatah tapi realiti hari ini. Sepatutnya ke pejabat untuk selesaikan satu dua perkara tetapi batal kerana hujan lebat. Maklumlah masih beroda dua.

Dalam kebosanan sendiri di rumah - ditambah servis astro yang masih lagi mengecewakan , Internet jadi alternatif.

Rata rata portal berita web fokus kepada pilihanraya kecil Permatang Pauh semalam. Pemenang sudah diketahui. Tinggal lagi menunggu angkat sumpah jawatan di Parlimen.

Ketepikan soal politik. Kita BICARA TENTANG KITA. Semalam usai sudah saya membaca nskhah Nama Beta Sultan Alauddin karya Faisal Tehrani - penulis yang saya kenali karyanya menerusi syor adik.
Naskhah ini ringkas 147 halaman keseluruhan. Bahasanya mudah dan penceritaannya straight forward. Memang sasaran naskhah ini untuk remaja. Namun yang diperoleh darinya cukup bermanfaat.

Sultan kedua terakhir Melaka ini laksana Umar al Khattab dan Umar ibn Abd Aziz karekternya.

Islam bukan sekadar anutan malah sebagai cara hidup. Pemerintahannya tegas, rakyat keutamaannya.

Sanggup menyamar di malam hari mendekati sensara rakyat.

Sebagai kanak kanak empunya nama sebenar Raja Hussin ini dicemburui dan nyaris mangkat ditangan saudara tiri sendiri.

Diusia remaja baginda dikenali kerana kebijaksanaan dan kecekalan mendalami ilmu.

Dan sebagai Sultan - Hukum Islam jadi panduan. Bagi baginda Islam dan adat khurafat bak minyak dan air.

Disebalik kemasyhurnnya tetap ada yang dengki dan iri hati. Kuasa dan pengaruhnya dipertikai saudara sendiri. Sehingga baginda diracun.

Begitulah secara ringkas keperibadian Sultan Alaudin ini. Hidupnya menegakkan yang hak. Matinya syahid. Insya Allah.

Naskhah ini saya beli di KINOKUNIYA KLCC dengan hargaRM 13.50

Saya kini sudah mula membaca lembaran lembaran awal sebuah lagi karya Faisal Tehrani - Tuhan Manusia. Naskhah yang saya rasakan cukup menarik.

Hujan masih belum reda - secangkir kopi pemanas badan.

Assalamualaikum.


nazimcafe


Sunday, August 24, 2008

Bicara Lima dalam Satu



Assalamualaikum Malaysia

Lima dalam satu. Lima peristiwa penting dalam seminggu di tanahairku Malaysia.




Lima peristiwa penting buat Islam, bangsa dan negara.

Esok 26 Ogos pilihanraya kecil Permatang Pauh. Pertembungan tiga penjuru antara tiga pemimpin Islam / Melayu. Diharap berlangsung dalam suasana harmoni tanpa keganasan.

Apa jua keputusan pasti satu kejutan. Namun biarlah diterima dengan redha tanpa ada amarah.

27 Ogos Ahli Parlimen baru Permatang Pauh dijangka mengangkat sumpah. Istiadat yang bakal menyaksikan samada berlaku pertambahan tempat pembangkang atau kerusi kerajaan di parlimen.

Selang dua hari berikutnya - juga di Parlimen Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bakal membentangkan BAJET 2009. Samada baik untuk rakyat atau sebaliknya sama sama kita tunggu, lihat dan dengar.

Penghujung Ogos - tanggal 31 haribulan Ulangtahun Kemerdekaan Negaraku yang ke 51. Sematang usianya malang sambutannya malap. Kadang kala mengingatkan kita semakin tua usia kita semakin mudah kita dilupakan.

Sedingin sambutan kemerekaan kali ini barangkali sedingin itu jua kita melupakan jasa pejuang kemerdekaan juga pemimpin yang banyak berjasa mengisi kemerdekaan satu hari nanti.

Dan terbenamnya matahari Syaaban bermakna bermulalah bulan keampunan, keberkatan dan kemuliaan Ramadhan. Serentak dengan permulaan September, mudah bagi kita mengingati bilangan puasa nanti. Harap jangan ada yang terleka.

Insya Allah tiada aral hadith berkaitan Ramdhan akan saya pamerkan di ruangan ini.

SECANGKIR LAGI BICARA BUAT KITA.... Tingkatkan ibadah... jauhi musibah demi agama Islam, bangsa Melayu dan Malaysia.

MERDEKA....

nazimcafe

Saturday, August 23, 2008

Jubli Perak Konvokesyen UIA



Alhamdulillah


Berkesempatan ke Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) siang tadi mengimbau kembali kenangan sewaktu bergelar mahasiswa satu ketika dahulu.

Banyak memori yang terpahat di sini. Lebih lebih lagi ketika melalui landmarknya yang hingga kini kekal dipanggil tangga besar.

Melihat suasana konvokesyen kali ini jauh benar berubah. Tiada lagi songkok dengan lilitan logo UIA - identiti UIA sejak konvokesyen pertama dulu.

Warna jubahnya pun berubah - juga kualiti.

Tapi itu perkara kecil - kegembiraan tetap ada. Wajah wajah ceria menyambut hari kejayaan tetap kelihatan. Riak wajah ibu bapa paling menyentuh perasaan. Maklumlah penat lelah melabur wang untuk pendidikan anak anak terbalas.

Mungkin majlis sebegini hanya dirasa sekali seumur hidup. Mungkin ini peluang terakhir bertemu rakan rakan sebelum melayari bahtera hidup masing masing. Seperti yang saya lalui sekarang.

Secangkir bicara tentang kita - biar masa berubah kenangan lalu jangan dilupa. Sejrah mengajar kita untuk lebih dewasa.

Buat juliana, izyan, alin, syuk, nai, lion, nisa' rudy dan rakan rakan yang lain tahniah. Anda sememangnya berhak untuk bergembira

Abadikanlah Kenangan Terindah

*gambar akan menyusul

nazimcafe

Sesuatu yang ter..tangguh



Bismillahrirrahmanirrahim...





Bicara orang kita - Bertangguh Itu Pencuri Masa.



Hakikat yang diperakui sendiri Allah SWT dalam kitab suci Al-Quran Al-Karim menerusi Surah Al 'Asr yang menggambarkan betapa ruginya insan yang gagal memanfaat masa dengan melakukan kebaikan.

Mewujudkan blog ini sesuatu yang tertangguh sejak sekian lama. maklumlah bak bicara orang kita - Masa itu Emas.

Masa dan emas memang tidak pernah mencukupi kecuali bagi yang bijak dan bersyukur.

Lantaran itu marilah kita bersama mencari kebaikan di dunia ini sebelum sehari di dunia ini menjadi satu per-seribu hari di akhirat nanti.

Alhamdulillah setelah begitu lama hasrat merealisasikan blog ini tertanguh akhirnya post pertama dapat jua dikongsi. Bi-iznillah...

sementara ada masa terluang di ruang ini SECANGKIR BICARA TENTANG KITA ingin dikongsi.

-Wallahua'lam-

nazimcafe